Wednesday, July 25, 2012

Aku keguguran

Tanggal 7hb Jun 2012 yang lalu, setelah hampir 2 bulan 2 minggu aku mengandung, akhirnya aku keguguran. Pada peringkat awal, doktor memang dah menjangka bahawa, petumbuhan janin tidak menunjukkan reaksi yang positif. Namun kami tetap percaya bahawa kekuasaan Allah S.W.T lebih hebat daripada jangkaan sesiapa sahaja. Walaupun penggunaan teknologi secanggih mana, kepakaran doktor sehebat mana, kami tetap yakin segala keputusan, qada dan qadar yg telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Kami menunggu sahaja keputusan dengan penuh kesabaran, sehinggalah berlakunya pendarahan yang sangat kritikal pada pagi 7hb June 2012. 

Pada pagi itu aku hendak mandi untuk ke tempat kerja, namun darah keluar tanpa henti, darah dan 'blood clot' terlalu banyak sehinggakan aku hanya duduk di bilik mandi selama 2 jam. Rasa sakit yang teramat dibahagian perut dan diselang-seli dengan sakit pinggang tidak pernah aku rasa dan bayangkan sebelum ini. Mujurlah, suamiku yang sangat membantu, menolong segala segi. Pergi membeli segala kelengkapan dan mengemas bilik dan beg pakaian aku serba ringkas. Dia membawa aku ke Hospital Pakar Ampang Puteri, dan kami sampai di sana jam 11.15 pagi. Menunggu, penuh kesabaran sebelum dapat bertemu doktor. Jam 12.00 tengahari, doktor menyuruh aku baring dan di situ dia telah telah mengambil satu alat dan dimasukkan ke dalam faraj untuk menarik keluar lebihan ketulan-ketulan 'blood clot' yang masih tertinggal dan juga mengeluarkan karung bayi yang masih berada di dalam. Sesungguhnya, rasa kesakitan tidak dapat aku terjemahkan. Sehinggakan pesakit-pesakit di luar klinik itu mendengar jeritan dan raungan aku.

Selepas habis pengeluaran karung bayi itu tadi, aku menjadi semakin lemah, dan 'blood pressure' aku semakin turun dengan mendadak, aku dikejarkan ke ward dan kemudian dimasukkan air serta ubat-ubatan yang lain. Pada jam 5 petang keadaan aku mula stabil dan dibenarkan jam 8.30 malam aku telah dibenarkan pulang serta diberi cuti sakit selama 10 hari.

Alhamdulillah, keadaan aku semakin hari semakin sembuh. Aku berpantang dan bertungku seperti orang bersalin. Walaupun aku diberi ujian serta kesakitan yang sebegitu, aku tetap redha dan percaya semuanya telah ditentukan dan ianya adalah untuk kebaikan. Allah S.W.T lebih mengetahui segalanya...

No comments:

Post a Comment